NATIONAL

Kes pelakon pukul kekasih diklasifikasikan NFA

Sinar Harian 18/05/2025 | 11:30 MYT
Shahrulnizam berkata, pihaknya telah menerima arahan NFA daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes tersebut. - Gambar fail
PETALING JAYA: Kes melibatkan seorang pelakon tempatan yang didakwa memukul kekasihnya dalam kejadian di Ara Damansara pada 7 April lalu telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).


Ringkasan AI
  • Kes pelakon tempatan yang didakwa memukul kekasihnya pada 7 April di Ara Damansara telah diklasifikasikan sebagai "No Further Action" (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya.
  • Polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan dan menerima arahan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut terhadap pelakon tersebut.
  • Mangsa pernah membuat laporan polis terhadap suspek pada tahun sebelumnya atas kejadian serupa, namun laporan itu telah ditarik balik.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya telah menerima arahan NFA daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes tersebut.

“Sebelum ini, kertas siasatan melibatkan kes ini telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, pihak kami telah menerima arahan NFA berhubung kes terbabit,” katanya pada Ahad.

Sinar Harian pada 23 April lalu melaporkan bahawa pihak polis akan memanggil pelakon terbabit yang didakwa memukul kekasihnya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan dibuat oleh wanita itu pada 7 April, yang mendakwa telah dipukul di bahagian muka dan badan oleh teman lelakinya menggunakan tangan.

Jelas beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hussein berkata, siasatan turut mendapati mangsa pernah membuat laporan polis pada tahun lalu atas kejadian sama oleh suspek, namun mangsa kemudiannya menarik semula laporan yang dibuat. - Sinar Harian





#pelakon pukul kekasih #pelakon terkenal #Tular #NFA