Kes penganggur bunuh teman wanita disebut semula 11 Mei

Haron Shafie
Mac 11, 2016 07:16 MYT
Sanderasegaran (kiri) dituduh membunuh Durga Devi 27 Februari lalu.
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh teman wanitanya bulan lalu.
Majistret, Haslinda Abd Raof menetapkan 11 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah kepada tertuduh.
Sanderasegaran Nithenanham, 28 tahun, dituduh membunuh Durga Devi Selvam, 17, di rumah bernombor 4, Kampung Batu Besi Ladang Sengat, Simpang Pulai Ipoh, pada jam 11 malam, 27 Februari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#bunuh teman wanita #Haslinda Abd Raof #mahkamah majistret ipoh #Sanderasegaran Nithenanham