[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
NATIONAL

Kes peniaga belon, DBKL: Dua daripada tiga kertas siasatan diserahkan ke TPR

Bernama 04/04/2025 | 11:00 MYT
Mohd Shuhaily (tengah) semasa sidang media selepas melawat semula tempat kejadian siasatan kes Teoh Beng Hock di Plaza Masalam Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dua daripada tiga kertas siasatan yang dibuka susulan insiden melibatkan seorang peniaga belon dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).


Ringkasan AI
  • Dua daripada tiga kertas siasatan insiden peniaga belon dan pegawai DBKL di Jalan TAR telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
  • Sumber memaklumkan peniaga belon yang digelar "abang belon" oleh netizen, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau, kebanyakannya berkaitan dadah.
  • Tiga laporan polis telah diterima berkaitan insiden tersebut, termasuk laporan oleh pegawai DBKL dan ibu kepada peniaga belon.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kertas siasatan yang diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), adalah di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

"Siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah masih menunggu maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berkaitan sebuah laman web yang dikaitkan dengan kes ini," katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman hari ini.

Mohd Shuhaily pada masa yang sama turut menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu yang bersifat sentimen.

"Orang awam perlu bersikap matang, sentiasa mematuhi undang-undang dan bekerjasama memelihara keharmonian negara," katanya.

Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa peniaga belon berkenaan, yang digelar "abang belon" oleh netizen, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau, kebanyakannya berkaitan kesalahan dadah.

"Suspek pernah didakwa atas enam daripada kes tersebut sebelum ini," maklum sumber itu.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi apabila serbuan DBKL terhadap peniaga tanpa lesen bertukar menjadi pergaduhan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob juga dilaporkan berkata bahawa tiga laporan telah diterima berkaitan insiden tersebut pada 28 Mac lepas.

Laporan pertama dibuat oleh seorang pegawai penguat kuasa DBKL dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis turut menerima laporan kedua daripada seorang lagi pegawai DBKL berhubung penyebaran gambarnya di Facebook yang disertai dengan kenyataan berunsur ancaman.

Laporan ketiga pula dibuat oleh ibu kepada peniaga belon itu Muhammad Zaimuddin Azlan.

-- BERNAMA





#kes peniaga belon #Mohd Shuhaily Mohd Zain #pegawai DBKl #Jabatan Peguam Negara #terkini