SEREMBAN: Kes jenayah melibatkan penipuan dalam talian di Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kepada 2,330 kes atau 44.3 peratus dari Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 1,333 kes bagi tempoh sama pada 2020.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, jumlah itu sekali gus menyumbang 86 peratus daripada keseluruhan jenayah komersial dengan kerugian berjumlah RM20.9 juta berbanding lebih RM18.8 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

"Kes berkenaan termasuk belian dalam talian (e-dagang), macau scam, love scam dan pinjaman tidak wujud serta tipu tawaran pekerjaan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata seramai 830 individu ditahan kerana dipercayai terlibat sebagai 'keldai akaun' dengan memberikan maklumat akaun bank mereka untuk digunakan sindiket manakala 285 individu dituduh di mahkamah.

Mohamad berkata butiran peribadi pemilik akaun yang ditangkap dan dituduh akan disenaraikan dalam rekod jenayah sekali gus menjejaskan sebarang urusan seharian serta peluang mereka mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang.

Beliau berkata pihaknya turut memperhebat program pencegahan kes penipuan dalam talian di semua daerah di Negeri Sembilan untuk memberi pendedahan kepada orang awam supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipu atau 'scammer.'

"Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun bank yang disyaki scammer menerusi portal https://semakmule.rmp.gov.my dan CCID Infoline di talian 013-2111 222," katanya.

-- BERNAMA