Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Kes penipuan dalam talian meningkat, kerugian cecah RM1.9 bilion tahun ini

Bernama 16/10/2025 | 07:40 MYT
Shamsul Anuar berkata, berdasarkan statistik PDRM, jumlah kes meningkat sebanyak 12,486 berbanding 35,368 pada 2024 yang melibatkan kerugian RM1.574 bilion. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Trend peningkatan kes penipuan dalam talian, atau scam, di negara ini semakin membimbangkan apabila 47,854 kes dengan jumlah kerugian RM1.919 bilion direkodkan setakat September lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 47,854 kes penipuan dalam talian direkodkan setakat September 2025 dengan jumlah kerugian mencecah RM1.919 bilion, meningkat lebih 12,000 kes berbanding tahun sebelumnya, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
  • Kerajaan telah meminda Kanun Keseksaan dengan memperkenalkan Seksyen 424A hingga 424D bagi membolehkan tindakan terhadap penggunaan akaun keldai, serta meminda Kanun Tatacara Jenayah untuk membolehkan penyitaan akaun bank yang terlibat dalam jenayah.
  • Rang undang-undang baharu berkaitan jenayah siber sedang digubal bagi memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan membimbangkan.


Beliau berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, jumlah kes meningkat sebanyak 12,486 berbanding 35,368 pada 2024 yang melibatkan kerugian RM1.574 bilion.

"Ini menggambarkan begitu banyak mangsa yang terlibat dan melihat kepada situasi ini, kerajaan tegas untuk melaksanakan pelbagai langkah termasuk menguatkuasakan undang-undang bagi menangani jenayah ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu langkah tegas kerajaan dalam memerangi jenayah penipuan dalam talian yang menunjukkan trend peningkatan amat membimbangkan.

Shamsul Anuar berkata kerajaan meminda Kanun Keseksaan bagi memperkukuh tindakan terhadap kes jenayah siber khususnya penggunaan akaun keldai dengan peruntukan baharu Seksyen 424A hingga 424D yang memberikan kuasa kepada PDRM untuk menyiasat dan mendakwa individu terbabit.

Selain itu, beliau berkata kerajaan meminda Kanun Tatacara Jenayah dengan menambah peruntukan yang membolehkan polis menyita akaun bank atau instrumen kewangan dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah sekali gus wang yang dicuri tidak dapat dipindahkan penjenayah.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata kerajaan sedang menggubal rang undang-undang berkaitan jenayah siber bagi memperkukuh kerangka perundangan negara dalam mendepani ancaman yang semakin kompleks.

-- BERNAMA



#kes penipuan #scam #Shamsul Anuar Nasarah #PDRM