MALAYSIA

Kes rasuah: 'Alhamdulillah, hari ini saya sihat...' - Bekas PTD

Umavathi Ramayah 23/01/2026 | 04:15 MYT
Muhammad Hafizuddeain ketika bercakap kepada media sejurus selesai prosiding pertuduhan ke atas dirinya hari ini. - Gambar/ Mohammad Luqman Abdul Aziz
SHAH ALAM: "Alhamdulillah, hari ini saya sihat, kita ikuti prosesnya (perundangan), kita lihat macam mana nanti."


Ringkasan AI
  • Bekas Panglima Tentera Darat didakwa atas menerima wang haram berjumlah RM145,000.
  • Isteri bekas Panglima mengalami masalah kesihatan, terpaksa melalui proses mahkamah sebelum menjalani pembedahan.
  • SPRM bertolak ansur dengan masalah kesihatan isteri, menjadualkan pertuduhan lebih awal dan memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Demikian kata bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika ditemui media sejurus selesai prosiding pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan isteri ketiganya yang mengalami masalah bisul kronik di paha, beliau memberitahu: "Sebenarnya dia (isteri) mengalami jangkitan bisul kronik dan baru sahaja pecah.

"Sepatutnya dia perlu menjalani pembedahan, namun terpaksa melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Kami berharap dapat merujuknya ke hospital dengan segera," katanya.

Menurutnya, tarikh asal pertuduhan ke atas isterinya dijadualkan pada Rabu depan, namun diawalkan kepada Isnin.

"Pihak SPRM telah berbaik hati untuk bertolak ansur dengan masalah kesihatan yang dihadapinya. Oleh itu, pertuduhan dilakukan lebih awal," katanya.

Beliau sebelum itu didakwa atas dua lagi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM145,000.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan supaya kedua-dua pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan secara bersama empat lagi pertuduhan dengan jaminan dikekalkan.

Pada Khamis, tertuduh yang berusia 58 tahun itu, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Dalam prosiding itu tertuduh dibenarkan diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin dan mahkamah menetapkan pada 30 Mac ini bagi tarikh sebutan semula kes.





#Muhammad Hafizuddeain Jantan #Mahkamah Sesyen #kes rasuah #bekas panglima tentera darat