PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan rasuah pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Ketika membacakan keputusan Vazeer Aman berkata, hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah tersalah arah apabila memutuskan kes prima facie terhadap Mohd Isa sebelum ini, berdasarkan keterangan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP16), Ikhwan Zaidel.

"Apabila terdapat dua versi peristiwa mengenai wang yang didakwa diberikan kepada Mohd Isa, maka faedah kesangsian itu sepatutnya diberikan kepada perayu," katanya di sini pada Rabu.

Vazeer Aman turut menambah bahawa hakim perbicaraan tersilap kerana tidak mempertimbang pihak pendakwaan mengubah naratif dalam kes terhadap Mohd Isa semasa prosiding mahkamah.

"Pada mulanya naratif pendakwa adalah bahawa suapan itu ganjaran untuk membantu meluluskan pembelian MPHS, dan kemudian ketika kes itu sedang dibicarakan tuduhan telah ditukar kepada 'dorongan' untuk Mohd Isa untuk tidak mengganggu kontrak pembelian MPHS," ujarnya.

Sementara itu, Vazeer Aman memberitahu, keputusan untuk membeli MPHS pada harga RM160 juta  dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB)  ke-10 pada 29 April 2014.

Menurut beliau, kebimbangan dan ketakutan terhadap pengaruh Mohd Isa sebagai Pengerusi FICSB berhubung penyiapan kontrak menjadi punca Ikhwan memberi suapan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Jika begitu, maka tidak boleh dikatakan bahawa suapan itu adalah untuk bantuan yang diberikan untuk mendapatkan kelulusan FICSB, kerana peristiwa itu telah berlaku dan bantuan perayu tidak akan diperlukan lagi.

"Oleh itu, kami mendapati bahawa keseluruhan sabitan ke atas sembilan pertuduhan itu adalah tidak selamat. Kami mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan itu dan wajar ada campur tangan.

"Justeru rayuan terhadap sabitan dan hukuman membabitkan semua pertuduhan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diketepikan dan perayu dilepas serta dibebaskan," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, ketika ditemui memberitahu, pihaknya perlu berbincang dengan Peguam Negara (AG) sebelum memutuskan untuk merayu atau sebaliknya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Veteran UMNO itu sebelum ini membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadapnya pada 3 Februari 2021.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu mendapati Mohd Isa, 74, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda di Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (sekarang Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.