MALAYSIA

Kes rasuah: "Mohon doakan saya" - Shamsul Iskandar

Astro Awani 04/12/2025 | 08:10 MYT
Datuk Shamsul Iskandar (tengah) semasa sidang media selepas prosiding di luar Mahkaman Kuala Lumpur. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memohon orang ramai agar terus mendoakan dirinya.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan rakan-rakan, sahabat serta barisan peguam yang sentiasa hadir memberikan bantuan.

Menurut Shamsul Iskandar, beliau komited untuk membersihkan namanya melalui proses undang-undang.

“Saya akan sedaya upaya membuktikan kedudukan sebenar, mengikut jalur hukum dan proses mahkamah.

“Sejak awal, saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan, dan insya-Allah membersihkan nama saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, peguamnya Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, prosiding pada hari ini berlangsung mengikut aturan mahkamah, termasuk penetapan tarikh sebutan baharu pada Januari untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.

Amer berkata, anak guamnya kekal menegaskan bahawa beliau tidak bersalah terhadap semua dakwaan.

“Apabila berita dan tohmahan terhadapnya disebarkan, beliau telah membuat laporan polis ketika berada di Sabah untuk berkempen.

“Laporan itu dibuat sebagai langkah untuk menjawab dan menolak tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau dan terhadap PMX,” katanya.

Tambah Amer, pihak pembelaan percaya proses undang-undang akan berjalan teratur serta memberi ruang kepada Shamsul Iskandar untuk membela diri.


#Shamsul Iskandar Mohd Akin #kes rasuah #SetPol PM #Albert Tei