KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, dan denda RM970 juta ke atas Datin Seri Rosmah Mansor.

Kegagalan membayar denda tersebut akan mengakibatkan Rosmah dipenjara sepuluh tahun bagi setiap pertuduhan, dan perlu dijalankan secara berturutan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut membenarkan permohonan pembelaan agar kesemua hukuman itu ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan di peringkat akhir.


[LAPOR LANGSUNG] Kes rasuah solar: Rosmah didapati bersalah atas tiga tuduhan


“Tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, dan ia dijalankan secara serentak. Hukuman bermula dari tarikh penghakiman dikeluarkan. Hukuman penjara berjalan serentak kerana setiap pertuduhan berkait antara satu sama lain.

“Tertuduh juga dikenakan denda RM970 juta untuk ketiga-tiga pertudhan , dan jika gagal membayar denda, maka tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan,” kata Mohamed Zaini.

Dalam pada itu beliau berkata, terdapat permohonan dari pasukan pembelaan Rosmah, agar diberikan penangguhan sementara proses rayuan dikemukakan di peringkat seterusnya.

Mohamed Zaini berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram bahawa mereka tiada bantahan terhadap permohonan itu.

“Pendakwaan tidak membantah, maka dengan itu hukuman penjara, pembayaran denda, dan hukuman terhadap kegagalan membayar denda, ditangguhkan sehingga rayuan dilupuskan. Ikat jamin RM2 juta dipanjangkan dengan syarat yang sama, sehingga selesai rayuan dilupuskan” katanya lagi.