SHAH ALAM: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sejak hari pertama dituduh menerima suapan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), bekas Timbalan Perdana Menteri itu yakin bahawa beliau tidak pernah melakukan perkara tersebut.

Presiden UMNO itu berkata, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini sekali gus membetulkan tanggapan salah atau 'hukuman yang dijatuhkan' oleh pandangan umum terhadapnya sepanjang perbicaraan rasuah berhubung sistem VLN berlangsung.

Ahmad Zahid juga menambah, beliau yakin keputusan yang dibuat hari ini telah diteliti oleh hakim melalui perundangan yang adil.

"Tentunya saya berasa bahawa apa juga telah dipertuduhkan, saya harus reda dengan ujian yang telah ditimpa ke atas saya.

"Namun saya istiqamah dan amat yakin bahawa pertuduhan-pertuduhan itu tidak pernah saya lakukan dan saya amat yakin selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, bahawa ini adalah kejayaan perjuangan BN dan UMNO," katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan membebas dan melepaskan Ahmad Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi kesemua 40 tuduhan terhadap beliau.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa beliau telah dimalukan dengan pelbagai tuduhan sebelum mahkamah membuat keputusan hari ini.

"Saya telah diaibkan, saya telah dimalukan, malah saya telah ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan.

"Saya telah dihukum terlebih dahulu oleh 'the court of public opinion' tetapi alhamdulillah hari ini menyaksikan segalanya dan perundangan telah ditegakkan demi kebenaran. Saya sekali lagi bersyukur," tambah Ahmad Zahid.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak pembelaan yang mewakili,  Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh kerana melakukan tugas dengan cemerlang.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.