SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat diberitahu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik berjumlah RM1.3 juta yang diperoleh daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Selain Ahli Parlimen Pagoh itu, terdapat lima lagi nama ahli politik yang disebut sewaktu perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - terdiri daripada Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Menurut peguam mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Muhyiddin pernah menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 pada 4 Julai 2018; serta RM500,000 pada 23 Ogos 2018.

Perkara itu dimaklumkan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun berdasarkan buku lejar syarikat terbabit.

David Tan yang juga merupakan saksi pendakwaan ke-17 itu menyatakan, terdapat kod nama ‘TSM’ yang merujuk kepada Muhyiddin serta ‘Team Pagoh’ yang merupakan kod nama bagi projek.

"Saya setuju projek UKSB di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sumbangan diserahkan untuk kerajaan pada masa itu. Muhyiddin adalah Menteri Dalam Negeri selepas Ahmad Zahid pegang jawatan berkenaan.

"Saya juga mengesahkan Khairy menerima dana politik RM3.7 juta daripada UKSB, manakala Reezal Merican menerima dana antara RM200,000 hingga RM300,000 secara sekali daripada syarikat," katanya pada Jumaat.

Pada 10 Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) telah memperoleh majoriti di Parlimen bagi membentuk kerajaan sebelum Muhyiddin dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri.

Sementara itu, bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun mengesahkan, syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam mata wang dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Perkara itu dilakukan pada 18 Mei lalu dengan bayaran bermula pada hujung 2014 dengan SG$200,000 sebulan, sebelum meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN.

Ini termasuk bagi tujuan mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Selain itu, tujuh lagi pertuduhan yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu termasuklah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 25 Julai ini.