MALAYSIA

Kes rogol Baling: Empat remaja termasuk tiga pelajar mengaku tidak bersalah

Abd Hadi Che Awang 21/10/2025 | 07:20 MYT
Minggu lalu, media melaporkan polis menahan empat remaja lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rogol ke atas seorang pelajar perempuan. - Gambar hiasan
BALING: Tiga pelajar dan seorang bekas pelajar didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Baling, pada Selasa atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tingkatan tiga sejak Jun lalu.


Ringkasan AI
  • Empat remaja lelaki termasuk tiga pelajar dan seorang bekas pelajar didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Baling atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sejak Jun lalu.
  • Kesalahan didakwa berlaku di dalam kelas dan kawasan ladang sawit di Mukim Siong antara Jun hingga Ogos, dan kesemua tertuduh berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
  • Mahkamah membenarkan jamin RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 27 November sebagai tarikh sebutan semula kes, susulan laporan polis oleh bapa mangsa selepas penularan video berbogel anaknya.


Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di dalam kelas di sebuah sekolah di Baling dan di kawasan ladang sawit di Mukim Siong pada bulan Jun, Julai dan Ogos yang lalu.

Sehubungan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Minggu lalu, media melaporkan polis menahan empat remaja lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rogol ke atas seorang pelajar perempuan.

Tiga daripadanya merupakan pelajar lelaki sebuah sekolah di Baling sementara seorang lagi bekas pelajar sekolah sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, bapa mangsa telah membuat laporan polis selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video anaknya berbogel.






#kes rogol pelajar #kes rogol baling #identiti suspek #rogol dalam kelas