Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes rogol di Melaka: Jenayah seksual disiasat tanpa mengira umur - Azalina

Bernama 13/10/2025 | 07:20 MYT
Azalina bercakap kepada pemberita selepas menjadi moderator untuk forum Nation Building and Future Resilience: Youth and Bullying di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa setiap kes rogol atau jenayah seksual akan disiasat di bawah Kanun Keseksaan tanpa mengira umur pelaku.


Ringkasan AI
  • Kerajaan beri jaminan semua kes rogol dan jenayah seksual akan disiasat di bawah Kanun Keseksaan, tanpa mengira umur pelaku.
  • Pelaku bawah umur tetap akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, jika cukup bukti, dan siasatan dijalankan oleh PDRM.
  • Azalina tegaskan bahawa kesalahan tetap kesalahan, dan status bawah umur tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab jenayah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata status bawah umur tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melepaskan seseorang daripada tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan.

Beliau berkata siasatan bagi kes seumpama itu akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk jika ia melibatkan pelajar sekolah atau individu bawah umur.

Azalina berkata walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai prosedur tersendiri dalam menangani isu salah laku seksual, kes jenayah itu tetap tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa undang-undang jenayah.

"Bagi undang-undang jenayah, ia tetap satu kesalahan... siasatan akan tetap dijalankan oleh PDRM. Biarlah polis menyiasat supaya tindakan sewajarnya akan dikenakan," katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator untuk forum Nation Building and Future Resilience: Youth and Bullying di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa empat suspek kes rogol di Melaka yang semuanya di bawah umur boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dijadual bermula 3 Nov depan.

Fadhlina berkata segala tindakan undang-undang dalam kes itu diserahkan kepada pihak polis dan KPM akan menumpukan kepada pengurusan aspek disiplin serta ekosistem sokongan sekolah termasuk masa depan pendidikan pelajar terlibat.

Azalina juga berkata sekiranya Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan hasil siasatan dan terdapat bukti yang mencukupi, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah.

"Jika pelaku berumur bawah 18 tahun, sistem pendakwaan akan dijalankan di Mahkamah Kanak-Kanak. Namun, dia tetap akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan," katanya.

"Jangan salah faham... salah tetap salah, jahat tetap jahat... hukuman tetap akan dikenakan tetapi mahkamahnya mungkin mahkamah berlainan," katanya.

-- BERNAMA





#Azalina Othman Said #video pelajar tingkatan 3 #pelajar tingkatan 3 dirogol alor gajah #rogol pelajar sekolah melaka