Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memadamkan afidavit yang diikrarkan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyokong permohonan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk membatalkan saman fitnah dikemukakan perdana menteri terhadapnya, akan didengar pada 21 Jun.

Perdana menteri memfailkan saman terhadap Dr Ling atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Okt tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mewakili Najib dan peguam Villie Nethi, mewakili Dr Ling.

Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata mahkamah juga menetapkan 4 Julai untuk keputusan permohonan Najib bagi memadamkan afidavit Dr Mahathir.

Pada 15 Feb lepas, Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri, memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan Dr Ling bagi membatalkan saman Najib atas alasan ia merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata permohonan Dr Ling untuk membatalkan saman perdana menteri akan didengar pada 8 Ogos dan tarikh sama juga ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Dr Ling.

Pada 27 Okt tahun lepas, Najib menyaman Dr Ling selaku defendan, antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan itu menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan olehnya.

Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Okt 2015.

Perdana menteri berkata perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.