MALAYSIA

Kes saman KDA FC selesai: SUA MB Kedah mohon maaf kepada Mohd Daud

Bernama 05/02/2026 | 04:40 MYT
Kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Kes saman fitnah pemilik majoriti Kedah Darul Aman (KDA FC) Tan Sri Mohd Daud Bakar terhadap Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Menteri Besar Kedah Muhamad Mat Yakim selesai secara baik selepas defendan membuat permohonan maaf kepada usahawan itu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Peguam Ashraf Sohaimi yang mewakili Mohd Daud selaku plaintif berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik.

"Kedua-dua pihak bersetuju dengan terma-terma yang diberikan, jadi hari ini kes selesai tanpa perlu melalui perbicaraan," katanya kepada pemberita selepas prosiding penyelesaian kes direkodkan dalam kamar Hakim Datuk Ibrahim Osman yang turut dihadiri peguam Abdul Hadi Ahmad mewakili Muhamad.

Pada 20 Jan lepas, media melaporkan kes saman fitnah yang difailkan oleh Mohd Daud terhadap Muhamad diteruskan selepas gagal mencapai penyelesaian secara baik semasa proses pengantaraan (mediasi) di Pusat Mediasi Mahkamah Alor Setar.

Menerusi saman difailkan pada Oktober lepas, Mohd Daud mendakwa Muhamad membuat satu kenyataan menerusi Facebook yang mengandungi fakta tidak tepat berkaitan pemilikan kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 29 Jun tahun lepas.

Mohd Daud menamakan Muhamad selaku defendan tunggal serta menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadapnya.

Sementara itu, Muhamad dalam prosiding permohonan maaf mengakui telah menarik balik semua kenyataan tersebut dan memohon maaf tanpa syarat atas segala kesan ketidakselesaaan dan kerosakan terhadap nama baik serta reputasi Mohd Daud akibat kenyataan tersebut.

Muhamad turut menyatakan aku janji bahawa tidak akan mengulangi kenyataan bersifat sama terhadap Mohd Daud pada masa akan datang sama ada secara langsung atau tidak langsung.

-- BERNAMA






#KDA FC #saman #Mohd Daud Bakar #Muhamad Mat Yakim