KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Datuk Awang Solahuddin Hashim, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas Ahli Parlimen Pendang itu menarik semula kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif, memaklumkan kepada Hakim Roslan Mat Nor bahawa kes itu telah diselesaikan dengan persetujuan pihak-pihak terhadap terma yang dipersetujui.
“Kedua-dua pihak ingin merekodkan terma-terma yang dipersetujui. Sehubungan dengan itu, plaintif menarik balik tindakan guaman ini tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Kedua-dua pihak melampirkan satu salinan kenyataan awam yang telah dipersetujui bersama dengan usul persetujuan ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan rakan-rakan bijaksana. Saya mohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Awang Solahuddin mengesahkan perkara tersebut.
Hakim Roslan kemudian membatalkan kes saman tersebut tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, selain melapangkan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 29 Okt 2026.
“Mahkamah mengucapkan terima kasih kepada pihak plaintif (Anwar) dan defendan (Awang Solahuddin) atas kesediaan masing-masing untuk menyelesaikan kes ini secara baik dan kesudian plaintif menarik balik kes ini,” kata hakim itu.
Menurut kenyataan awam yang diperoleh media, pihak-pihak bersetuju menyelesaikan pertikaian itu secara muktamad, setelah mengambil kira implikasi prosiding saman fitnah berkenaan, termasuk kos litigasi yang perlu ditanggung kedua-dua pihak, serta terdapat perkara lebih besar dan penting yang wajar diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian mereka berhubung kes saman itu dan Awang Solahuddin dengan rendah diri, tanpa sebarang keraguan, menarik balik segala kenyataan yang dibuat olehnya pada atau sekitar 21 Feb 2023, yang menjadi asas kepada tindakan guaman itu serta bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula apa-apa kenyataan yang sama atau yang mempunyai maksud yang serupa pada masa hadapan.
“Kedua-dua pihak juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada hakim serta pegawai mahkamah yang terlibat atas profesionalisme, kebijaksanaan dan kecekapan mereka sepanjang pengendalian prosiding itu.
“Kedua-dua pihak berharap penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak sebagai suatu penyelesaian yang baik dan agar perkara ini tidak lagi dipolemikkan atau dijadikan bahan yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara,” menurut kenyataan itu.
Pada 3 Mac 2023, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin atas kenyataan berunsur fitnah yang dibuat oleh defendan di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Feb 2023.
Menurut Anwar, kenyataan itu yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.
Beliau berkata kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk mencapai agenda politik peribadi.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA