[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
NATIONAL

Kes saman projek HSR: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan kebenaran merayu rakyat Malaysia

Bernama 27/05/2025 | 13:00 MYT
Panel tiga hakim memutuskan bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan Mohd Hatta Sanuri tidak memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan seorang rakyat Malaysia untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi menghidupkan semula samannya berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah memutuskan bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan Mohd Hatta Sanuri tidak memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Zabariah, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, berkata perkara tersebut bersifat interlokutori dan persoalan yang dibangkitkan tidak melibatkan sebarang perkara baharu undang-undang atau isu kepentingan awam.

Beliau berkata kes itu tertumpu kepada isu locus standi dan sama ada boleh diadili sedangkan ia telah pun diputuskan dalam kes terdahulu.

Mahkamah memandang serius terhadap tuntutan yang tidak berasas manakala persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak dikemukakan dengan teliti, katanya yang menolak permohonan itu tanpa perintah mengenai kos.

Keputusan itu mengakhiri usaha Mohd Hatta untuk memulakan tindakan perundangan terhadap kerajaan, dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Mohd Hatta memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Jan lepas yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saman itu tidak wajar.

Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membatalkan saman Hatta pada 15 Dis 2023 selepas membenarkan permohonan kerajaan.

Mohd Hatta, yang mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia, memfailkan saman itu pada Disember 2022 susulan pembatalan projek HSR tersebut dan menuntut pampasan RM1 juta.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek sepanjang 350 kilometer itu selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.

-- BERNAMA


#kes saman #Projek HSR #Kereta Api Berkelajuan Tinggi #rakyat Malaysia