[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kes seksual bawah umur: Kanak-kanak perlu dibimbing, bukan dihukum - Nancy

Bernama 24/09/2025 | 06:30 MYT
Nancy berkata mereka berhak mendapat peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata individu bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual sama ada atas kerelaan atau suka sama suka tidak seharusnya dikenakan hukuman, sebaliknya wajar diberikan perlindungan, bimbangan dan pemulihan.


Ringkasan AI
  • Individu bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual secara suka sama suka tidak seharusnya dikenakan hukuman, sebaliknya perlu diberi perlindungan, bimbingan dan pemulihan agar mereka dapat belajar daripada kesilapan dan membina semula kehidupan tanpa stigma.
  • KPWKM menekankan pendekatan kaunseling, pendidikan dan sokongan tersusun sebagai fokus utama, selaras dengan sistem intervensi dan pemulihan sedia ada melalui institusi seperti asrama akhlak dan program komuniti.
  • Nancy Shukri menegaskan bahawa tanggungjawab membimbing dan melindungi kanak-kanak terletak pada individu dewasa, dan sebarang bentuk eksploitasi atau penderaan akan dikenakan tindakan undang-undang, manakala penyelesaian isu ini memerlukan kerjasama keluarga, komuniti dan institusi.


Beliau berkata mereka berhak mendapat peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.

Nancy berkata hal itu perlu dilihat dengan mengambil kira pembangunan diri kanak-kanak daripada segi emosi, kognitif, sosial dan sebagainya yang dapat membantu kanak-kanak menilai sendiri kesan sesuatu tindakan yang diambil.

"Justeru, fokus utama KPWKM berhubung isu ini adalah untuk memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nancy, pendekatan perundangan dan program sedia ada turut menekankan intervensi, perlindungan serta proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang adalah selaras dengan pendirian KPWKM.

"Sistem berperingkat menerusi pendekatan berbeza sama ada melibatkan pemulihan dalam komuniti mahupun melalui institusi kanak-kanak seperti asrama akhlak dan institusi pemulihan lain adalah untuk memastikan kanak-kanak menerima bimbingan dan sokongan sewajarnya di setiap tahap," katanya.

Nancy menegaskan individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing serta melindungi kanak-kanak, manakala sebarang bentuk eksploitasi atau penderaan terhadap mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata kenyataan dan pandangan dikeluarkan pelbagai pihak tanpa asas yang kukuh boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat berhubung sifat semula jadi kanak-kanak yang perlu dibimbing dan dilindungi.

"Isu ini tidak boleh ditangani melalui peruntukan undang-undang semata-mata. Ia memerlukan kesedaran, kekuatan institusi keluarga serta pembabitan komuniti untuk membina sahsiah dan jati diri masyarakat menerusi pembabitan dan kebersamaan komuniti," katanya.

Nancy berkata KPWKM komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua kanak-kanak.

"Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang kedua. Jalan ke hadapan bukan melalui hukuman, tetapi melalui penjagaan, bimbingan dan perlindungan," katanya.

-- BERNAMA


#seks suka-sama suka #Rogol Statutori #Nancy Shukri #bawah umur