KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merehatkan serta-merta tiga individu daripada semua jawatan dan tanggungjawab susulan penahanan mereka bagi membantu siasatan kes disyaki penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes berkenaan.
Advertisement
Beliau berkata tindakan merehatkan individu terbabit dibuat tanpa prejudis bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan.
“IKRAM ingin menjelaskan bahawa perkara ini melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung.
“Selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Badlishah berkata pihaknya akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut mengenai kes berkenaan.
Menurutnya, segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa, selain menegaskan IKRAM komited untuk terus menilai serta memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar lebih telus, berintegriti dan selaras dengan tuntutan syarak serta prinsip kedaulatan undang-undang.
“IKRAM menghargai keprihatinan semua pihak dan memohon agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa semakan dalaman sedang dan akan terus dilaksanakan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh.
Dua individu, termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat kira-kira RM230 juta.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.