PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa segala urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan ARM Limited, United Kingdom (UK) melibatkan usaha sama industri semikonduktor dilaksanakan secara teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memasuki hari ketiga hari ini bertujuan menentukan sama ada proses berkenaan dibuat secara tergesa-gesa atau tidak mengikut peraturan kerajaan.
Beliau yang ditemui media selepas selesai memberikan keterangan selama lima jam di ibu pejabat SPRM pada Rabu turut menyatakan berpuas hati terhadap perjalanan siasatan, selain menjangkakan ia kini berada di 'peringkat akhir'.
“Proses dan keputusan pelaburan itu sebenarnya bukan kuasa saya. Ini bukan seperti seorang menteri yang membuat keputusan sendiri untuk meluluskan tender kepada pihak tertentu sehingga menimbulkan persoalan kepentingan peribadi.
“Sebaliknya, ia adalah keputusan kerajaan melibatkan usaha sama dengan ARM Limited dengan komitmen sebanyak RM1.1 bilion bagi tempoh 10 tahun.
“Perkara yang disiasat adalah sama ada proses itu dibuat secara tergesa-gesa atau tidak mengikut peraturan kerajaan. Untuk menentukannya, semuanya perlu dirujuk kepada dokumen rasmi seperti minit mesyuarat dan perjanjian,” katanya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata proses memberi keterangan akan disambung semula pada jam 10 pagi, Khamis.
"Selepas selesai hari ketiga memberikan keterangan hari ini, saya berasa lega dan dapat tersenyum kerana seperti yang dijangkakan, tiada apa yang tidak dapat saya jelaskan dan tiada perkara yang disembunyikan.
"Segala perkara tersebut telah pun direkodkan dan diterangkan dalam dokumen rasmi termasuk minit mesyuarat serta dokumen berkaitan," tambah Rafizi.
Selain itu, Rafizi menegaskan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berdepan pertuduhan susulan siasatan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan tidak mempunyai akses kepada dokumen berkaitan kerana tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi, dan sebarang dokumen yang digunakan adalah hasil siasatan SPRM.
Ditanya mengenai dua individu lain yang dicadangkan akan dituduh oleh SPRM, Rafizi berkata tidak mengetahui identiti mereka dan tidak dimaklumkan oleh pegawai penyiasat.
“Saya tak tahu. Setakat ini prosesnya adalah untuk menyelesaikan siasatan ini,” tambahnya.
Setakat ini, SPRM memaklumkan seramai 22 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.