MALAYSIA

Kes serangan anak Rafizi kes berprofil tinggi ke-10 belum selesai

Farhan Hakimi 20/08/2025 | 13:29 MYT
Jelas Projek SAMA, kesemua kes yang belum diselesaikan itu menandakan kegagalan serius dalam penguatkuasaan undang-undang. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Insiden serangan ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya minggu lalu merupakan kes berprofil tinggi ke-10 berkaitan keganasan atau intimidasi yang masih belum diselesaikan sejak November 2022.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) berkata, tiada sebarang tangkapan selepas tujuh hari kejadian menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan awam di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

"Kegagalan berterusan kerajaan dan polis untuk menyelesaikan 10 kes berprofil tinggi ini malangnya akan merencatkan beberapa usaha reformasi institusi dan dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," ujar kenyataan.

Jelas Projek SAMA, kesemua kes yang belum diselesaikan itu menandakan kegagalan serius dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Projek SAMA menggesa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bertindak tegas kerana tanpa keselamatan dan kebertanggungjawaban, reformasi kerajaan beliau berisiko kehilangan segala kredibiliti," tambah kenyataan.

Projek SAMA turut merujuk kepada hasil kaji selidik hubungan etnik pada Oktober 2024 yang mendapati majoriti rakyat di Semenanjung, khususnya 78 peratus responden Melayu, mahu kerajaan bertindak tegas terhadap keganasan.

Antara kes-kes berprofil tinggi lain yang dirujuk Projek SAMA termasuk kes Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham ketika rumahnya diserang dengan molotov cocktail awal tahun lalu dan kehilangan isteri kepada seorang jutawan Sarawak yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pamela Ling yang diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya itu di Putrajaya, April lalu.


#Rafizi Ramli #serangan #Kerajaan Madani