Kes SRC: Doalah yang terbaik untuk saya, kata Najib kepada penyokong

Ridauddin Daud
Ogos 23, 2022 07:49 MYT
Menurut Najib, beliau telah melakukan sedaya upaya dalam mempertahankan dirinya berhubung kes SRC International Sdn Bhd. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Lebih dua jam suasana hening di luar Istana Kehakiman di Putrajaya, keadaan kembali gamat kira-kira jam 3.10 petang tadi apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar bertemu penyokongnya.
Puluhan penyokong yang berada di luar mahkamah sejak pagi segera mengerumuni Ahli Parlimen Pekan itu yang kemudiannya bercakap sebentar kepada semua yang ada.
Menurut Najib, beliau telah melakukan sedaya upaya dalam mempertahankan dirinya berhubung kes SRC International Sdn Bhd dan kini semuanya terletak kepada keputusan Mahkamah Persekutuan.
"Saya ucap terima kasih kerana beri sokongan tak berbelah bahagi kepada saya," katanya di hadapan penyokong beliau.
"Sekarang ini kita tunggu keputusan. Kalau keputusannya buruk, saya minta maaflah. Saya telah berusaha sedaya upaya.
"Doalah yang terbaik untuk saya," sambung Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib juga menasihatkan penyokong beliau supaya meneruskan perjuangan mereka.
"Jangan berganjak, doa, usaha dan terus berjuang," katanya.
Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini
[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Prosiding rayuan akhir Najib
Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat memasuki bangunan mahkamah kira-kira jam 3.35 petang tadi.
Kehadiran beliau turut disambut penyokong yang berada di luar mahkamah.
#Kes SRC #Najib Razak #Mahkamah Persekutuan #Zahid Hamidi