KOTA BHARU: Pas menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membuktikan mahkamah bebas daripada tekanan dan campur tangan mana-mana pihak.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan itu sekali gus adalah mesej yang baik kepada masyarakat dunia bahawa institusi kehakiman negara tidak dipengaruhi.

“Keputusan mahkamah ni membuktikan mahkamah di malaysia bebas dan tidak dipengaruhi dan tunduk kepada mana-mana pihak. Ini merupakan mesej yang baik kepada masyarakat dan masyarakat antarabangsa.

“Isu ni melibatkan seorang berkedudukkan tinggi dan dunia memberi perhatian… itu perkembangan positif kerana sebelum ini ramai mendakwa akan berlaku campur tangan,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 dan Pelancaran Zon Bersih Indah dan Ceria pihak berkuasa tempatan (PBT) Kelantan di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC International: Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman Najib

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tindakan Najib dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd bukan demi kepentingan negara tetapi hanya memalukan negara.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, Najib terlibat secara aktif dalam memastikan RM4 bilion pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International disalurkan kepada syarikat itu tetapi selepas dana itu dikeluarkan, perayu (Najib) tidak mengambil peduli mengenai dana tersebut.

Najib, 68, bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pertama di negara ini yang dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah hakim memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.