MALAYSIA
Kes SRC International: Najib gembira lepas tanpa bebas
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gembira selepas dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta yang SRC International Sdn. Bhd. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gembira selepas dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta membabitkan SRC International Sdn. Bhd.
Ringkasan AI
- Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta melibatkan SRC International, selepas permohonan pembelaan diterima.
- Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Najib gembira dengan keputusan tersebut kerana dapat menumpukan perhatian kepada kes 1MDB yang sedang berjalan.
- Pertuduhan asal dibuat pada 2019 dan melibatkan transaksi wang haram melalui akaun bank peribadi, sementara Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas sabitan kesalahan dalam kes SRC terdahulu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas prosiding kes hari ini.
“Dia gembira kerana tidak terlalu banyak kes… beliau kini boleh menumpukan perhatian kepada kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sekarang,” kata Muhammad Shafee apabila ditanya reaksi Najib mengenai keputusan DNAA hari ini.
Terdahulu Hakim K.Muniandy melepas tanpa membebaskan Najib atas tiga pertuduhan tersebut selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, 72, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.
Sebelum ini, Muhammad Shafee dalam hujahannya berkata, DNAA adalah paling terbaik untuk diberikan kepada anak guamnya dengan mengambil kira faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.
Beliau berkata, pertuduhan terhadap Najib telah dibuat pada tahun 2019 di mana ia sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula telah dikemukakan pada 31 Julai 2023.
Pada 3 Februari 2019, Najib, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan Pengampunan Diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.