Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa semua dokumen spesifik termasuk transaksi bank yang diperoleh semasa serbuan di AmBank cawangan Raja Chulan, pada 6 Julai 2015 dikemukakan oleh pengurus cawangan bank berkenaan.

Azizul Adzani Abdul Ghafar berkata beliau tidak memaklumkan kepada pengurus itu, R Uma Devi mengenai keperluan dokumen spesifik berkenaan ketika bertemu dengan wanita itu pada hari serbuan.

Menurut saksi kedua itu, beliau ke sana bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang terdapat dalam senarai yang diarahkan oleh pegawai penyiasat BNM, dan ia tidak termasuk arahan melibatkan transaksi wang yang masuk ke akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Azizul mengakui ada arahan kepadanya untuk mengambil dokumen berkaitan akaun termasuk maklumat pembukaan akaun bank dan surat menyurat berkenaan akaun.

Lapan folder dan tiga sampul telah diperolehi semasa dijalankan pada waktu pagi, pada hari sama.

BACA: Transaksi RM40 juta dan RM5 juta dikesan - Pegawai BNM

BACA: Buktikan yang Najib sedar wang itu dari sumber haram - Peguam Shafee Abdullah

Selain lapan dokumen itu, terdapat dokumen lain yang diserahkan oleh Uma Devi kepadanya, pada waktu malam.

Serbuan pada sesi pagi dijalankan pada jam 9 pagi hingga jam 11 pagi. Sementara, satu pasukan lagi meneruskan penggeledahan sehingga jam 9 malam.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela bekas Perdana Menteri, Harvinderjit Singh, di sini, pada Selasa.

Prosiding dijalankan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, Azizul memberitahu terdapat beberapa transaksi melibat wang berjumlah RM40 juta dan RM50 juta.

Transaksi tersebut berlaku antara Disember 2014 dan Febuari 2015, yang mana semua dokumen ini diperolehi ketika serbuan yang dibuat pada 6 Julai 2015.

Dalam perkembangan sama, Azizul turut mengakui bahawa serbuan yang dijalankan pada hari tersebut membabitkan ‘pasukan yang besar’.

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada serbuan itu turut disertai pasukan dari jabatan lain, selain pasukan penyiasat BNM.

Najib yang juga bekas perdana menteri berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.

Pada prosiding itu juga, kesemua tujuh pertuduhan ke atas Najib dibacakan semula dan beliau kekal mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dikenakan.

Perbicaraan bermula Isnin sehingga 10 Mei.