KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dikosongkan pada Selasa kerana peguam kanan itu berada di United Kingdom (UK) untuk bertemu dengan Peguam Diraja UK (Queen's Counsel).

Muhammad Shafee dikatakan sedang berusaha mendapatkan Peguam Diraja untuk mewakili kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memandangkan rayuan itu membabitkan isu dan persoalan perundangan yang kompleks.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan perbicaraan kes pengubahan wang haram terhadap peguam kanan itu dijangka disambung semula pada 28 Mac dan 29 Mac serta 27 April depan.

Pangkat Peguam Diraja dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II kepada peguam yang menunjukkan kepakaran dan kemahiran tertentu di mahkamah.

Najib sebelum ini berusaha membatalkan sabitan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya yang melibatkan RM42 juta.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu untuk membatalkan sabitan serta hukuman dalam kes rasuah berkenaan.