KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh susulan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan isu berkenaan ucapan-ucapan rasis.

Ketika membahaskan usul Titah Diraja, Ahmad Fadhli berkata, beliau antaranya tidak bersetuju dengan kenyataan Lim Guan Eng berhubung dakwaan bahawa 'orang Islam mahu menyembelih bukan Islam'.

Beliau berkata, ucapan-ucapan sedemikian yang diambil daripada penyokong sudah tentu menimbulkan pelbagai perkara di luar kawalan termasuk melibatkan penyokong DAP sendiri.

Mengambil contoh isu melibatkan Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai 'Superman Hew', beliau mendakwa apa yang dikatakan oleh bekas ahli DAP itu juga menjijikkan.

"Saya tidak setuju ucapan yang disebut oleh Bagan, yang disebut oleh ini (bekas penyokong DAP) pun saya tidak setuju tetapi kalau kita memetik kenyataan penyokong biasa, banyak lah kita boleh lambak dalam dewan ini... itu ucapan biasa, itu ucapan biasa.

"Ini isunya, saya tak nak bela sesiapa, semua sudah ada dalam siasatan polis.

"Jadi isu 'Superman Hew' ini termasuk bila Bagan sebut, apakah status siasatan (kenyataan berkaitan sembelih)? Saya juga nak tanya, apakah status siasatan kepada 'Superman Hew' ini, atau sudah jadi superman terbang ke angkasa?," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada 23 November lalu, Polis Pahang menahan 'Superman Hew' bagi membantu siasatan berhubung satu ucapan berbaur perkauman dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata Kuan Yau, 53, ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Pahang di kediamannya di Puchong Jaya, Selangor dengan bantuan pasukan JSJ Bukit Aman.

Sementara itu, seorang pelakon lelaki sebelum ini tampil membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November tahun lalu.

Berucap lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, ucapan berbaur rasis turut disebut oleh ahli Dewan Rakyat di Parlimen seperti menuduh Malaysia akan menjadi negara Taliban jika ditadbir oleh Pas.

Menafikan tuduhan tersebut, beliau menegaskan Kelantan tidak menjadi negeri Taliban walaupun ditadbir oleh Parti Islam itu sejak lebih 30 tahun.

"Itu ucapan bersifat rasis kenapa dikaitkan pula Pas dengan Taliban seolah-olah kalau kita tadbir negara, kita jadi Taliban.

"(Kalau Taliban) Manakan patung Buddha terbaring yang paling besar di Asia Tenggara boleh dibiarkan untuk terus berada di Negeri Kelantan. Jadi kalau nak kata Pas mentadbir jadi Taliban, ini lah ucapan yang benar-benar menghasut rakyat Malaysia dan perlu dikenakan tindakan," tambahnya.


Beberapa Ahli Parlimen daripada PH bangkit mempersoalkan kenyataan Ahmad Fadhli.

RSN Rayer (PH-Jelutong) mendakwa Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menuduh Pas sebagai parti ajaran sesat.

Namun, Ahmad Fadhli berkata, isu yang dibawa oleh Rayer sudah lama berlalu.

"Saya fikir apa masalah Jelutong ialah beliau cuba untuk mengheret perkara dua tiga penggal lepas dan bawa ke dalam dewan ini. Yang sepatutnya dibawa masuk ialah hoi hoi ya hoi...," sindir Ahmad Fadhli.

Sementara itu, Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkata sebarang tuduhan yang dikaitkan dengan Pas tidak mewakili seluruh umat Islam di negara ini.

"Jangan kita samakan Pas dengan umat Islam. Kita hanya cakap Pas, ini hanya politik dan terima hakikat politik.

"Segala polemik politik ini jangan campurkan isu agama," katanya.

Ahmad Fadhli kemudian bersetuju bahawa Pas tidak mewakili keseluruhan umat Islam.