MALAYSIA

Kes Syed Saddiq: 'Ini sesuatu yang tidak dijangka' - Hisyam

Sinar Harian 12/12/2025 | 08:15 MYT
Hisyam ketika ditemui media pada sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini pada Jumaat.
PUTRAJAYA: “Ini sesuatu yang tidak dijangka, namun saya tidak mahu mengulas lanjut.”

Demikian reaksi peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhubung arahan Mahkamah Persekutuan yang meminta pihak pendakwaan dan pembelaan menilai semula hujahan masing-masing berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tujuh tahun lalu.

Hisyam berkata, perkara itu adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh pasukan guamannya.

"Ini adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh kami, namun saya berpendapat mahkamah telah melakukan perkara yang betul.

"Selain itu, saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ini adalah arahan mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini pada Jumaat.

Ditanya sama ada langkah mahkamah itu memberi gambaran seolah-olah tiada kes kukuh terhadap anak guamnya, Hisyam sekali lagi menegaskan beliau tidak akan mengulas lanjut.

Menurut beliau, pihak pembelaan baru sahaja menyelesaikan penghujahan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dan menghargai ruang masa yang diberikan oleh mahkamah.

"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada barisan hakim Mahkamah Persekutuan yang memberikan kami masa mencukupi untuk mengemukakan hujahan dan pendirian kami.

"Seperti diketahui, keputusan ditangguhkan dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak pulang serta meneliti semula kes masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat membuat kejutan apabila memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk menilai semula rayuannya berhubung keputusan yang membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais turut meminta kedua-dua pihak merenung kembali hujahan yang difailkan. - Sinar Harian






#Syed Saddiq #pasukan peguam Syed Saddiq #keputusan mahkamah persekutuan #pengubahan wang haram