Isu seorang guru Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, yang bakal dihadapkan ke mahkamah, Selasa ini atas tuduhan mengenakan disiplin tegas terhadap seorang pelajarnya hangat diperkatakan di media sosial.

Menerusi hashtag #PrayForCikguAzizan, netizen menzahirkan solidariti dan sokongan kepada 'Cikgu Azizan' yang dilapor menampar seorang pelajar yang didakwa melakukan kesalahan disiplin berat berulang kali.

Antaranya ialah menghidu gam, bergaduh, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.

Netizen mempertahankan tindakan Azizan dan menyoal kewajaran dalam menghukum seorang guru yang hanya mengambil tindakan keras terhadap seorang pelajar yang melakukan kesalahan jenayah.

Menurut mereka, tindakan tegas mungkin pilihan terakhir guru itu dalam menangani masalah displin anak muridnya.

Tambah netizen, ia lebih baik untuk mendenda pelajar bermasalah daripada membiarkan mereka bertukar menjadi sampah masyarakat.

"Solidariti untuk Cikgu Azizan, bagaimana nak mengajar adab kepada murid sekarang bilamana guru dihadapkan ke mahkamah kerana tangkap murid hisap gam," tweet seorang netizen, @royhendra_12.





Malah, ada juga yang kecewa terhadap tindakan ibu bapa pelajar terbabit yang sanggup mendakwa Azizan di makhamah dan mengambil keputusan untuk 'tutup mata' terhadap kesalahan anak sendiri.





Pada 31 Okt lalu, Azizan telah didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama satu setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Selain itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) turut menyeru guru di seluruh negara tampil menunjukkan sokongan moral kepada Azizan.