MALAYSIA

Kes tembak di Meru libatkan kongsi gelap, bukan rambang - Hussein

Umavathi Ramayah 01/07/2025 | 09:07 MYT
Siasatan polis menunjukkan motif kejadian berkait rapat dengan konflik dalaman antara dua kumpulan kongsi gelap. - Foto fail/ BERNAMA
SHAH ALAM: Kejadian tembakan yang mengakibatkan seorang lelaki mati di hadapan sebuah kedai motosikal di Meru, Klang pada 20 Jun lalu bukan dilakukan secara rambang, sebaliknya dipercayai berpunca daripada perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Ringkasan AI
  • Kejadian tembakan di Meru, Klang pada 20 Jun lalu dipercayai berpunca daripada konflik antara dua kumpulan kongsi gelap dan bukan dilakukan secara rambang.
  • Polis menahan dua suspek tempatan dan telah merekodkan keterangan daripada 12 saksi bagi membantu siasatan, termasuk kemungkinan pembunuh upahan terlibat.
  • Mangsa berusia 46 tahun ditemukan mati dalam kereta akibat ditembak dari jarak dekat, dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal menunjukkan motif kejadian berkait rapat dengan konflik dalaman antara dua kumpulan terbabit.
"Kita percaya ini bukan kejadian rambang dan motif dipercayai akibat perbalahan antara kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Dalam pada itu kata Hussein, polis turut menahan dua suspek tempatan berusia 25 dan 40 tahun.
Kedua-dua mereka menurutnya, ditahan secara berasingan di sekitar Klang.
"Selain itu, kita juga merekodkan keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan," ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau memberitahu, polis turut menyiasat sama ada insiden ini dilakukan pembunuh upahan yang diupah oleh kumpulan tertentu, atau dilakukan sendiri oleh anggota kumpulan terbabit.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.37 petang, 20 Jun lalu, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditemukan mati dalam keadaan mengiring di tempat duduk pemandu sebuah kereta di Meru, Klang, dipercayai akibat ditembak dari jarak dekat.
#kongsi gelap #kes tembak meru #Polis Diraja Malaysia #Hussein Omar Khan