[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kes tembak Kanowit: Dua lelaki dituduh cuba membunuh

Bernama 12/09/2025 | 11:30 MYT
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Oon Kork Chern kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. - Gambar/ Bernama
SIBU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas cubaan membunuh seorang lelaki, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Oon Kork Chern kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi

Lionel Kho Kwong Teck, 33, dituduh cuba membunuh Lau Ang Ho dengan melepaskan tembakan senjata api kira-kira 5.20 petang pada 24 Ogos di simpang Jalan Penyangkai Majau-Kanowit, di Jalan Majau di Kanowit.

Dia dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dan jika menyebabkan kecederaan fizikal, boleh dpenjara sehingga 20 tahun.

Sementara itu, Wong Sing Dieng, 51, dituduh membantu Lionel dalam melakukan kesalahan itu pada masa dan tempat sama. Dia berdepan pertuduhan sama di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Wong turut didakwa memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh iaitu amfetamina dan metamfetamina di Balai Polis Sungai Merah, Jalan Wawasan, Sibu, kira-kira 11 pagi pada 2 Jun lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(2) akta sama, yang memperuntukkan penjara antara tujuh hingga 13 tahun dan tiga hingga enam sebatan.

Mahkamah menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuralisa Natasha Nazrulzam manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA




#kes mahkamah #Kes Tembak #cubaan bunuh #Kanowit