GEORGE TOWN: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pakatan jahat bagi mendatangkan cedera parah terhadap seorang lelaki menggunakan parang, minggu lepas.
G Kisheaan, 29, S Yogayoggan, 26, Heganeswaran Servai Shanmuganathan, 28, dan Sarvindran Kirishna Kumar, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Advertisement
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjadi pihak kepada suatu pakatan jahat untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu mendatangkan cedera parah menggunakan senjata parang terhadap S Prashanraj, 33.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu masuk bilik pameran Hyundai di Gurney Paragon Mall di sini kira-kira 8 pagi pada 25 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan serius selain mengambil kira tahap kecederaan mangsa yang mengalami amputasi akibat kecederaan tersebut dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Beliau turut berhujah kejadian berlaku di tempat awam pada waktu pagi yang memberi implikasi terhadap keselamatan masyarakat khususnya di Pulau Pinang yang merupakan destinasi pelancongan.
Peguam Lim Xian Zhi yang mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Menurutnya, Kisheaan yang bekerja di kedai kelapa dengan pendapatan RM1,800 sebulan menghidap darah tinggi, Yogayoggan, seorang tukang paip berpendapatan RM70 sehari, mempunyai seorang anak berusia tiga tahun serta menanggung ibu bapanya.
Beliau berkata Heganeswaran yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM2,300 sebulan menghidap asma dan sakit jantung, manakala Sarvindran, penghantar barang di J&T dengan pendapatan RM2,300 sebulan, turut menanggung kedua-dua ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya mereka melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain tidak mengganggu mangsa dan saksi perbicaraan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
-- BERNAMA