MALAYSIA

Kes tikam di Guar Chempedak: Dua mangsa alami 28 kecederaan tikaman dan kelar

Adie Sufian Zulkefli 14/09/2025 | 11:13 MYT
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, pada Ahad. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Polis mengesahkan wanita yang maut dalam kejadian bunuh di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan Khamis mempunyai 20 kesan tikaman dan kelaran manakala rakan lelakinya mempunyai lapan kesan tikaman dan kelaran menggunakan senjata tajam.


Ringkasan AI
  • Mangsa wanita ditikam 20 kali, lelaki 8 kali dalam kejadian bunuh di Taman Nona; punca kematian masing-masing akibat tikaman di dada dan leher.
  • Suspek berusia 29 tahun adalah suami mangsa wanita, dipercayai cemburu; senjata pisau 24 cm ditemui di Sungai Petani.
  • Pasangan berkahwin di negara jiran pada 2019 dan ada dua anak, suspek pernah disiasat kerana cuba melanggar mangsa lelaki pada Ogos lalu.


Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, mangsa wanita berusia 28 tahun ditikam sebanyak 20 kali manakala mangsa lelaki berusia 30 tahun pula mengalami kecederaan lapan tikaman.

“Si mati perempuan telah mengalami kecederaan tikaman dan kelaran dengan senjata tajam di bahagian dada, leher, tangan dan kaki, manakala si mati lelaki mengalami kecederaan tikaman dan juga kelaran dengan senjata tajam di bahagian dada, leher dan belakang badan.

“Hasil bedah siasat awal ke atas si mati perempuan dapati punca kematian adalah "stab wound to the chest", manakala si mati lelaki dapati punca kematian adalah "stab wound to the neck". Hasil siasatan mendapati suspek merupakan suami kepada si mati perempuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, pada Ahad.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 29 tahun merupakan suami kepada mangsa wanita dan polis telah berjaya menahan lelaki terbabit yang berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur.

Katanya, polis turut berjaya menemui senjata tajam berupa sebilah pisau sepanjang 24 sentimeter pada Sabtu yang dibuang suspek di kawasan semak di tepi jalan di Sungai Petani sejurus kejadian sebelum melarikan diri ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, motif kejadian disebabkan perasaan cemburu suspek.

[TERKINI] Lelaki dan wanita ditemukan dengan kesan tikaman di badan dipercayai dibunuh


Katanya, hasil siasatan suspek dan mangsa wanita merupakan suami isteri dan mempunyai dua anak lelaki berusia dua dan empat tahun hasil perkahwinan yang dipercayai berlangsung di negara jiran pada 2019.

Ketika ditanya tentang kejadian, beliau berkata, suspek disyaki mengumpan mangsa, kononnya mahu membeli telefon bimbit sebelum menyerang mereka di lokasi kejadian.

Kata beliau, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan yang mana dia disyaki cuba melanggar mangsa lelaki pada Ogos lalu.

Suspek ditangkap dan kemudian diberi jamin sementara menunggu laporan perubatan bagi kes itu.

Khamis lalu, Astro AWANI melaporkan seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Taman Nona di Guar Chempedak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa lelaki dijumpai dalam keadaan terlangkup di atas jalan di hadapan sebuah rumah di situ, manakala mangsa wanita di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

Jarak lokasi mangsa lelaki ditemui dengan kereta adalah kira-kira tujuh meter.






#Kes tikam di Guar Chempedak #kecederaan tikaman #Polis Kedah #tikaman di dada dan leher #Baderulhisham Baharudin