[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kes tikam di Guar Chempedak: Lelaki didakwa bunuh isteri, peniaga telefon bimbit

Adie Sufian Zulkefli 24/09/2025 | 03:00 MYT
Syed Al Iqbal (tengah) ketika dibawa polis ke Mahkamah Majistret Gurun pagi ini. - Foto Astro AWANI
GURUN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya dan seorang peniaga telefon bimbit pada 11 September lalu.

Tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30 tahun, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada bapa kepada dua anak yang juga merupakan seorang pekerja swasta.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh peniaga Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30 tahun, di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan dekat sini antara pukul 9 dan 10 malam, 11 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Al Iqbal dituduh membunuh isterinya Nurul Nur Syamira Khamis, 28 tahun, di kawasan perumahan, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya sementara tertuduh diwakili barisan peguam, Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia serta dokumen berkaitan lain.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pada prosiding itu, Abdul Hayyi memohon agar tertuduh dihantar ke Penjara Marang, Terengganu kerana ahli keluarga tertuduh termasuk dua anak lelakinya berusia tiga dan enam tahun menetap di negeri itu.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung permohonan tersebut.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan Nurul Nur Syamira dan Ku Mohd Asraf ditemui maut masing-masing dengan lapan dan 20 kesan tikaman dan kelaran di Taman Nona.






#Kes tikam di Guar Chempedak #Mahkamah Majistret Gurun #peniaga telefon bimbit #lelaki dituduh bunuh isteri