MALAYSIA

Kes tikam pelajar: KPM laksana intervensi psikososial bantu guru, pelajar tangani trauma - Fadhlina

Bernama 23/10/2025 | 11:00 MYT
Fadhlina berkata situasi dialami guru di sekolah berkenaan amat membimbangkan kerana mereka diselubungi kesugulan, kepiluan dan menyalahkan diri sendiri. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan intervensi psikososial awal bagi menangani trauma guru dan murid yang terkesan susulan kejadian pelajar perempuan berusia 16 tahun dibunuh di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • KPM menggerakkan 50 pakar psikososial ke sekolah di Bandar Utama bagi menangani trauma guru dan murid susulan kes pembunuhan pelajar perempuan berusia 16 tahun.
  • Latihan baharu untuk guru merangkumi persediaan menghadapi trauma dan prosedur keselamatan -act, barricade and call-, menggantikan latihan kebakaran tradisional.
  • Penjagaan guru, kesihatan mental, pendidikan reproduktif, dasar perlindungan kanak-kanak dan suara pelajar menjadi lima fokus utama; rakyat digalakkan beri pandangan mengenai RUU Antibuli 2025 di portal PetaRI.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata situasi dialami guru di sekolah berkenaan amat membimbangkan kerana mereka diselubungi kesugulan, kepiluan dan menyalahkan diri sendiri sehingga boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem sekolah sekiranya tidak ditangani segera.

"Latihan penjagaan dan sokongan guru ini sangat penting. Guru-guru ini masih perlukan sokongan psikososial. Hari pertama sekolah, kita gerakkan 50 pakar psikososial untuk bagi tumpuan kepada sekolah ini sahaja.

"Hari kedua dan ketiga, difahamkan hanya kira-kira 200 pelajar hadir daripada lebih 1,000 pelajar. Hari ini lebih 800 pelajar telah hadir. Ini berpunca daripada intervensi awal yang kami lakukan sejak hari pertama," katanya.

"Jadi ia bukan lagi sifatnya biasa-biasa punya cabaran, dah jadi cabaran satu sekolah, satu guru dan pentadbir yang masih tidak boleh menjalankan fungsi pentadbir sebab terkesan dengan peristiwa," katanya dalam Sesi Pertemuan Menteri Pendidikan Bersama Editor Kanan Media di sini hari ini.

Fadhlina berkata dalam pembaharuan segera KPM, latihan penjagaan dan sokongan guru diperkukuh dengan pendekatan baharu merangkumi persediaan menghadapi trauma termasuk latihan act, barricade and call (bertindak, kepung dan dapatkan pertolongan) bagi memastikan warga sekolah lebih bersedia dalam menghadapi cabaran luar jangka.

"Dalam pembaharuan segera, penjagaan dan sokongan telah berubah daripada segi pendekatan dan latihan persediaan guru. Ia bukan lagi latihan kebakaran. Ini latihan semua persediaan yang kita panggil act, barricade and call.

"Trauma dialami guru boleh memberikan kesan kepada penyampaian pendidikan seterusnya kepada anak-anak (murid) ini. Sebab itu aspek sokongan menyeluruh amat kritikal," katanya.

Penjagaan dan sokongan guru merupakan antara lima fokus utama kerangka perubahan segera KPM bersama-sama pemerkasaan program pendidikan kesihatan mental, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, dasar perlindungan kanak-kanak serta penguatan suara pelajar.

"Saya tekankan dalam pembaharuan segera, suara pelajar. Ini yang selalu orang tertinggal. Tetapi kali ini kita perlu dengar suara anak-anak kita. Apa dia nak, apa dia perlukan. Sebab sepanjang sesi saya di (sekolah) Bandar Utama, saya duduk dengan anak-anak ini sekejap.

"Walaupun sekejap, tapi persoalan mereka kita kena jawab. Apa kebimbangan mereka? Kalau tak ada kaunselor yang boleh jawab persoalan itu, ia akan bermain dalam pemikiran mereka," katanya.

Dalam kejadian 14 Okt lepas, seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun maut ditikam seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama di sini antara 9.20 hingga 9.35 pagi.

-- BERNAMA




#kes pelajar ditikam #bandar utama #intervensi psikososial awal #pelajar trauma #Fadhlina Sidek