Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Kes tikam pelajar: Laporan psikiatri belum siap, sebutan kes ditunda 19 Disember

Yasmin Natasha 21/11/2025 | 03:20 MYT
Peguam Kitson Foong menjawab soalan wartawan ketika ditemui di hadapan Mahkamah Petaling Jaya, pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI
PETALING JAYA : Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menetapkan tarikh sebutan baharu bagi kes seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, selepas pakar psikiatri memohon masa tambahan untuk menyiapkan laporan penilaian.

Menurut peguam bela tertuduh, Kitson Foong, Pengarah Pakar Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan sebulan lagi untuk melengkapkan laporan penuh mengenai keadaan mental tertuduh.

“Mahkamah mengambil kira permohonan itu di bawah Seksyen 342(4) yang membenarkan lanjutan berkenaan, dan menetapkan 19 Disember sebagai tarikh sebutan berikutnya.

“Kami melihat penetapan tarikh baharu ini sebagai komitmen positif mahkamah untuk memastikan proses undang-undang berjalan teliti dan adil, terutama memandangkan tertuduh adalah seorang juvenil,” katanya.

Foong berkata, laporan psikiatri itu penting bagi menentukan tahap kecergasan anak guamnya untuk membuat pengakuan serta melalui proses perbicaraan, selain menilai keadaan mental semasa kejadian didakwa berlaku.

Beliau juga menegaskan bahawa permohonan masa tambahan bukan bertujuan melengah-lengahkan prosiding, tetapi disebabkan beban tugas tinggi pakar psikiatri serta keperluan menilai pesakit mengikut turutan.

Menurutnya, keluarga tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak hospital bagi sebarang temuduga atau dokumentasi tambahan yang diperlukan untuk memastikan laporan akhir komprehensif.

Sementara itu, Foong memaklumkan, pihak pendakwaan belum mengemukakan sebarang dokumen tambahan selain kertas pertuduhan.

“Di bawah Seksyen 51A, pihak pendakwaan mesti menyerahkan semua dokumen dan bukti sebelum tarikh perbicaraan. Kami masih jauh daripada tarikh itu,” katanya.

Turut hadir di mahkamah seorang peguam yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Foong turut memaklumkan bahawa tertuduh berada dalam keadaan fizikal yang baik dan sedang menerima rawatan penuh di hospital.

Prosiding hari ini dilakukan di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.

Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap tertuduh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 14 Oktober, mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam tandas sekolah selepas dipercayai ditikam berulang kali oleh pelajar lelaki terbabit.



#Mahkamah Majistret #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #tikam pelajar #laporan psikiatri