MALAYSIA

Kes tikam pelajar: Polis mohon sambung reman esok

Astro Awani 20/10/2025 | 10:00 MYT
Polis akan mohon sambungan reman terhadap pelajar lelaki 14 tahun yang dituduh menikam mendiang Yap Shing Xuen hingga maut. -Foto fail
KUALA LUMPUR: Polis akan memohon sambungan reman esok terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam mendiang Yap Shing Xuen hingga meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.


Ringkasan AI
  • Polis akan mohon sambungan reman terhadap pelajar lelaki 14 tahun yang dituduh menikam mendiang Yap Shing Xuen hingga maut.
  • Kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya lusa, dengan 148 saksi telah dirakam percakapan.
  • Suspek direman sejak 15 Okt dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata permohonan itu akan dibuat sejurus tahanan reman ke atas remaja lelaki itu tamat esok.

"Orang kena tuduh (OKT) tamat reman pertama pada 21 Oktober 2025 akan disambung buat kali kedua pada (21 Oktober) pagi esok jam 8 pagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

"Kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada lusa untuk arahan lanjut.

"Rakaman percakapan saksi setakat ini seramai 148 orang," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu media melaporkan, pelajar berkenaan direman tujuh hari bermula 15 Oktober lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di kawasan tandas perempuan sekolah berkenaan.

Suspek kemudian ditahan dan direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.




#Yap Shing Xuen #Mahkamah Majistret #kes tikam pelajar #mohon sambungan reman