Kes ugut bunuh Dr Akmal: Warga emas ditahan

Shuhada Abdul Kadir
Mac 26, 2024 16:05 MYT
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 68 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi di sekitar kawasan Kandang, di Melaka Tengah. - Gambar hiasan/BERNAMA
MELAKA TENGAH: Polis menahan seorang lelaki warga emas susulan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kononnya Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh akan dibunuh kerana kelantangannya dalam isu KK Mart berkaitan stoking kalimah Allah baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 68 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi di sekitar kawasan Kandang, di sini selepas menerima satu laporan daripada pengadu yang terdengar kata-kata ugutan berkenaan.
Beliau berkata, pengadu yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun terdengar ugutan disuarakan suspek ketika berada di bengkel kereta milik suspek.
"Pada 20 Mac lalu semasa pengadu berada di bengkel kereta itu, suspek telah memberitahu bahawa “Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Dr Akmal Salleh) lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak mati".
"Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki tersebut dan pada pagi tadi pengadu telah tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut sebelum suspek kemudian ditahan," katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut Christopher berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan satu pondok yang didirikan untuk menjalankan kerja-kerja membaiki kereta dan suspek mengaku memberitahu kepada pengadu ketidakpuasan hatinya terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO itu.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah memberitahu pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Muhamad Akmal Saleh mengenai isu KK Mart.
“Tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan perkhidmatan kawalan keselamatan di kawasan tersebut,” tambahnya.
Tambahnya, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana sakit dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.
Terdahulu, media melaporkan Dr Muhamad Akmal dimaklumkan mengenai ugutan bunuh terhadapnya selepas dihubungi seorang individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke program rasminya hari ini.
Beliau kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, petang tadi.
#ugutan bunuh #isu stoking #Ketua Pemuda UMNO #Dr Muhamad Akmal Saleh #warga emas #Polis Daerah Melaka Tengah #kk mart