MALAYSIA
Kes ugut bunuh, kurung lelaki: Bella, tujuh rakan tukar pengakuan

Bella dan tujuh tertuduh lelaki diiringi anggota polis hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Lapan individu termasuk sebagai Bella yang sebelum ini mengaku bersalah atas empat pertuduhan iaitu melakukan mengugut membunuh, ugutan memukul serta pemerasan terhadap seorang lelaki, menukar pengakuan mereka di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Ringkasan AI
- Tertuduh menukar pengakuan: Lapan individu termasuk Bella yang sebelum ini mengaku bersalah atas empat pertuduhan, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret.
- Pertuduhan jenayah serius: Kes melibatkan pemerasan, kecederaan, pengurungan secara salah, dan ugutan bunuh terhadap mangsa, dengan hukuman maksimum penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
- Perbicaraan dijadualkan: Mahkamah menetapkan 18 Julai untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh yang masih tidak diwakili peguam, dengan jaminan diteruskan.
Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh berkenaan termasuk Bella bersama-sama dua lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga dia bersetuju membayar wang RM3,000.
Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada tertuduh Mohammad Amierul Hakim.
Bagi pertuduhan kedua pula, tujuh individu berkenaan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Faris Syahmi, dengan seorang lagi masih bebas.
Bella bagaimanapun tidak didakwa atas pertuduhan pindaan kedua itu.
Bagi pertuduhan ketiga pula, kesemua tertuduh termasuk Bella serta dua lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara bersama-sama mengurung mangsa.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, lapan individu berkenaan termasuk Bella turut menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Muhammad Faris Syahmi dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.
Kesemua kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, di sini, antara jam 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Noraini Nik Azman.
Tertuduh ketujuh, Syamsul Hamiziey diwakili peguam Nurul Nadia Yunos; tertuduh kelima, Mohamad Amierul Hakim diwakili T Haressh manakala tertuduh pertama dan kedua, Muhammad Aqmal Hafifi dan Ahmad Rushdi Jumadi pula diwakili Khairulazwad Sariman dan Syahmi Nawawi.
Kesemua tertuduh dan keempat-empat kes berkenaan juga diperintahkan untuk dibicarakan bersama pada Selasa.
Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya memohon mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Majistret Nur Fatin membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 18 Julai depan untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh yang masih tidak diwakili peguam selain memerintahkan jaminan ke atas tertuduh diteruskan.
Sebelum itu, beberapa tertuduh kelihatan sebak apabila ada ahli keluarga yang hadir mengikut prosiding di mahkamah.
Pada 25 April lalu, Bella dan tujuh lelaki dilaporkan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan ugutan bunuh, serangan berkumpulan dan mengurung seorang lelaki secara salah, minggu sebelumnya.
Sebelum itu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang pemuda dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Plentong Baru, di sini.
Video berdurasi antara satu hingga dua minit itu menunjukkan mangsa dalam keadaan lemah dan tidak melawan, dipukul bertubi-tubi oleh kira-kira lima hingga tujuh individu.
Akibat kejadian itu, mangsa yang berasal dari Kluang mengalami kecederaan dan menerima tiga jahitan pada bibir serta enam jahitan di telinga kiri selain mengalami bengkak pada badan. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami