Kes wanita mati dijerut: Lelaki berusia 57 tahun direman enam hari

Umavathi Ramayah
Mac 9, 2021 02:39 MYT
Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun di Kajang berhubung siasatan kes wanita ditemui mati dijerut dalam kejadian pada Isnin. - Gambar fail/IPD Kajang
KAJANG: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan reman selama enam hari hingga 14 Mac depan berhubung siasatan kes wanita ditemui mati dijerut, di sini, dalam kejadian pada Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata perintah reman ke atas suspek dikeluarkan Mahkamah Kajang bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan.
"Kita tahan lelaki itu kira-kira pukul 8.45 malam Rabu di Kajang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Penahanan itu dibuat dalam tempoh 24 jam mayat mangsa ditemukan.
Namun demikian, hubungan suspek dengan mangsa setakat ini masih belum diketahui.
Semalam mangsa yang berusia 32 tahun itu ditemukan mati dengan kesan jerutan di leher di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang.
Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu difahamkan berkhidmat dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) sebagai Pengurus Jabatan Advokasi sejak 2013.
BACA: Kes wanita mati dijerut: Ikram sedia beri kerjasama bantu siasatan polis
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan sebelum ini memberitahu, berdasarkan keadaan mangsa, polis percaya mangsa dibunuh lebih dari 24 jam sebelum mayatnya ditemukan.
#mati dijerut #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #IKRAM #Pengurus Jabatan Advokasi #Mohd Zaid Hassan #Fadzil Ahmat