Perdana Menteri telah membentangkan RMK13 hari ini. Dapatkan intipati utama di sini
MALAYSIA

Kes Yusoff Rawther: AGC gesa orang awam tidak buat penyataan bersifat spekulatif

Bernama 13/06/2025 | 07:31 MYT
AGC menghormati keputusan mahkamah dan akan meneliti kes untuk mempertimbangkan tindakan lanjut. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menggesa orang awam agar tidak membuat penyataan bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.


Ringkasan AI
  • Jabatan Peguam Negara (AGC) menggesa orang awam agar tidak membuat spekulasi atau fitnah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan.
  • Mahkamah Tinggi mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, kerana tiada bukti menunjukkan tertuduh mempunyai kawalan atau pemilikan terhadap dadah dan senjata tersebut.
  • AGC menghormati keputusan mahkamah dan akan meneliti kes untuk mempertimbangkan tindakan lanjut, sambil menegaskan komitmen mereka terhadap keadilan dan integriti dalam sistem perundangan negara.


AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyedari kes berkenaan telah menarik perhatian umum dan sepanjang prosiding, jabatan itu telah bertindak menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang.

Menurut kenyataan itu, pendakwaan telah dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti yang tersedia tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Jabatan ini (AGC) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat penyataan yang bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung dengan keputusan kes tersebut lebih-lebih lagi jika ia dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah.

"Pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaraan melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi," menurut kenyataan itu.

AGC memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan terhadapnya di akhir kes pendakwaan semalam.

"Jabatan ini menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan mengambil maklum alasan keputusan yang diberikan dalam kes tersebut. Hal ini kerana tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang," menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, AGC memaklumkan akan meneliti keputusan kes dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan selanjutnya.

"Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan," menurut AGC.

Semalam, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammed Yusoff, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Muhammad Jamil berkata berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol dan dadah terbabit.

-- BERNAMA



#Jabatan Peguam Negara #Yusoff Rawther #AGC #spekulatif #terkini