[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Kes Yusoff Rawther: PM Anwar tidak mohon kekebalan mutlak - Shamsul Iskandar

Sinar Harian 30/05/2025 | 11:03 MYT
Shamsul Iskandar berkata, ia khususnya melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi ketika berdepan tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Permohonan yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Persekutuan berhubung kes sivil berkaitan Yusoff Rawther adalah proses sah di sisi undang-undang bagi mendapatkan tafsiran terhadap persoalan perundangan yang kompleks dan signifikan.


Ringkasan AI
  • Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Persekutuan adalah langkah sah untuk mendapatkan tafsiran undang-undang berkaitan kedudukan seorang Perdana Menteri yang berdepan tindakan sivil atas dakwaan sebelum pelantikan, bukan cubaan mendapatkan kekebalan mutlak.
  • Permohonan itu bertujuan menilai sama ada tindakan sivil boleh menjejaskan kecekapan Perdana Menteri dalam menjalankan tugas rasmi, dan ia selaras dengan prinsip undang-undang serta amalan demokrasi seperti konsep "qualified immunity".
  • Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri menegaskan bahawa sistem kehakiman negara berfungsi secara bebas dan telus, dan menyeru agar pertikaian diselesaikan melalui saluran undang-undang tanpa manipulasi politik atau emosi rakyat.


Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia khususnya melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi ketika berdepan tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikan.

Menurutnya, tidak ada dalam permohonan tersebut sebarang cubaan untuk mendapatkan kekebalan mutlak.

"Sebaliknya, persoalan yang dibawa ialah sama ada tindakan sivil seperti ini boleh mengganggu kecekapan seorang Perdana Menteri dalam melaksanakan fungsi eksekutif negara.

"Ini adalah satu pertimbangan wajar dan sah untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, institusi kehakiman tertinggi negara yang mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir Perlembagaan secara adil dan objektif.

"Adalah tidak bertanggungjawab untuk menyamakan permohonan perundangan ini dengan 'autoritarianisme'. Malah, di negara-negara yang menjunjung demokrasi, soal 'qualified immunity' sering dibincangkan untuk mengimbangi antara keperluan pentadbiran negara dan hak individu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Lawyers For Liberty mendakwa bahawa Anwar cuba mendapatkan kekebalan undang-undang dalam kes sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther.

Shamsul Iskandar menegaskan, Perdana Menteri bukan berada di atas undang-undang namun beliau juga tidak harus dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

Jelasnya, jika dakwaan itu benar, sistem kehakiman negara berfungsi dengan telus dan bebas untuk mendengar serta membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan persepsi atau tekanan media.

"Saya menyeru semua pihak agar menghormati prinsip kedaulatan dan tidak menyalahgunakan ruang undang-undang demi membina naratif politik.

"Serahkan kepada mahkamah untuk menilai. Negara ini telah melalui terlalu banyak episod manipulasi perundangan demi kepentingan politik.

"Segala pertikaian wajar diselesaikan melalui saluran perundangan, bukan dengan manipulasi emosi rakyat," ujarnya. - Sinar Harian





#Yusoff Rawther #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #imuniti