KUALA LUMPUR: Reformasi institusi diperlukan bagi melaksanakan agenda reformasi mengenai tadbir urus yang lebih baik, ketelusan dan akauntabiliti.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, semua pihak perlu memastikan undang-undang diluluskan di Parlimen supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara bebas dan berfungsi tanpa pengaruh politik. 

"Khususnya, Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan.

"Peguam Negara berfungsi sebagai ketua penasihat kepada kerajaan dalam hal perdagangan komersial, sivil dan antarabangsa manakala Pendakwa Raya mengendalikan badan pendakwaan awam yang bebas, bertanggungjawab hanya kepada Parlimen.

"Bagi SPRM, lantikan kanan mesti ditapis oleh Parlimen dan semua aktivitinya bertanggungjawab kepada Parlimen. Kedua-dua pembaharuan ini adalah asas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya. 

Semalam, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70 tahun, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berdepan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Mengulas lanjut, Wong yang juga Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) berkata, pembaharuan itu perlu dilakukan dengan pantas dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, saya akan terus menggesa dan mendesak kerajaan saya untuk melaksanakan pembaharuan ini.

"Apabila undang-undang ini diwujudkan, maka mungkin kita akan melihat permulaan kepada berakhirnya pengaruh politik yang tidak wajar dalam perkara anti rasuah," ujarnya.