KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pihak pendakwaan terkhilaf dalam merumuskan kemasukan sumbangan dalam akaun amanah Yayasan Akalbudi, sebuah yayasan kebajikan diasaskan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, melibatkan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Peguam Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa bukti daripada Omar Ali bahawa wang berkenaan datang daripada Yayasan Al Bukhary tidak pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Adalah jelas Omar Ali tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan perbankan di bawah undang-undang bank. Dalam hujah yang diutarakan, pihak pendakwaan melakukan beberapa salah tanggapan.

Tiada bukti langsung dari mana wang itu datang. Salah tanggapan menunjukkan tiada siasatan dibuat," beliau berkata demikian dalam hujahan balas di akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang berhadapan pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hisyam berkata tindakan pendakwaan yang berdasarkan peruntukan Seksyen 4 (3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan merumuskan bahawa ia adalah aktiviti menyalahi undang-undang, juga tidak berasas.

Menurut pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram, Ahmad Zahid didakwa mengarahkan pengurup wang Omar Ali untuk menukarkan RM7,511,250.20 dalam tunai kepada 35 keping cek dan didepositkan ke dalam Yayasan Akalbudi untuk membeli simpanan tetap di Maybank.

Sementara itu, Hisyam berkata pendakwaan juga bersetuju dengan sumbangan saksi ke-78 pendakwaan, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah yang juga Pengarah Bukan Eksekutif MyEG Services Sdn Bhd kepada yayasan itu.

Mohd Jimmy Wong dalam testimoninya berkata beliau mendermakan lebih daripada RM9 juta kepada Yayasan Akalbudi dengan kerelaan hatinya untuk kebajikan dan bagi tujuan keagamaan dan ia tiada kaitan dengan syarikat MyEG Services.

Dalam hal ini, Hisyam berkata disebabkan pihak pendakwan gagal menunjukkan proses pengubahan wang haram itu berlaku sebagai satu elemen dalam pertuduhan, maka kes terhadap anak guamnya tidak sepatutnya diteruskan.

Ahmad Zahid, 68, berhadapan 47 pertuduhan - 12 daripadanya pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pendengaran hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

-- BERNAMA