Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: Amaran KPN kepada penyebar gambar, maklumat tidak tepat

Farhan Hakimi 06/08/2025 | 15:37 MYT
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata,tindakan itu bukan sahaja menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung, malah turut mengganggu proses keadilan kepada semua pihak. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan gambar berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir boleh dikenakan tindakan di bawah tiga undang-undang.


Ringkasan AI
  • Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengingatkan bahawa penyebaran maklumat dan gambar kes Zara Qairina boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  • Antara undang-undang terlibat ialah Akta Kanak-Kanak 2001, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat tidak sahih kerana boleh mengganggu siasatan dan proses keadilan.


Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tiga undang-undang itu ialah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Peringatan tersebut diberikan susulan pihaknya mengesan wujud penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan mangsa di media sosial oleh pihak tertentu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu (6 Ogos), beliau berkata maklumat dikongsi berpotensi mengelirukan orang awam.

Tindakan itu bukan sahaja menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung, malah turut mengganggu proses keadilan kepada semua pihak.

PDRM menjelaskan bahawa semua proses siasatan termasuk isu bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes tersebut.




#Zara Qairina Mahathir #PDRM #polis #KPN