[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: Fadhlina terima memorandum, jamin siasatan dan SOP ketat

Ernalisa Othman 12/08/2025 | 14:05 MYT
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengesahkan menerima memorandum daripada sekumpulan aktivis yang menuntut keadilan berhubung kematian pelajar dari Sabah, Zara Qairina Mahathir. - Foto Facebook Fadhlina Sidek
Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengesahkan menerima memorandum daripada sekumpulan aktivis yang menuntut keadilan berhubung kematian pelajar dari Sabah, Zara Qairina Mahathir.


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan menerima memorandum aktivis menuntut keadilan kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
  • Beliau memberi jaminan KPM mematuhi SOP ketat dan akan menjalankan siasatan menyeluruh.
  • Aktivis mendesak penambahbaikan SOP keselamatan sekolah dan tindakan terhadap pihak yang cuai.


Menerusi perkongsian di media sosial, Fadhlina memaklumkan pertemuan itu berlangsung petang Selasa bersama kumpulan aktivis berkenaan, yang sebelum ini menyatakan rasa kecewa kerana beliau tidak hadir menerima memorandum semasa demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini diwakili Ketua Setiausaha, Aminuddin Hassim, untuk menerima memorandum tersebut.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR menegaskan KPM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam menangani isu berkaitan keselamatan pelajar, sambil memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan.

Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal dunia bulan lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolahnya di Kota Kinabalu, Sabah.

Kes berprofil tinggi itu mencetuskan perhatian umum selepas keluarga mendakwa berlaku unsur kecuaian pihak sekolah dalam mengendalikan keselamatan murid.

Peristiwa tersebut turut mengundang desakan daripada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, aktivis pendidikan dan badan hak asasi kanak-kanak agar siasatan bebas dijalankan.

Mereka menuntut KPM bertanggungjawab memastikan keselamatan pelajar terjamin serta SOP diperkukuh untuk mengelak kejadian berulang.

Kumpulan aktivis yang hadir ke Parlimen itu menyerahkan memorandum yang mengandungi cadangan penambahbaikan SOP keselamatan di sekolah serta gesaan agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pihak yang cuai.



#Fadhlina Sidek mengesahkan menerima memorandum #keluarga mendakwa berlaku unsur kecuaian #KPM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard #desakan daripada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil aktivis