MALAYSIA
Kes Zara Qairina: "Jangan sebar kandungan yang belum ditentusahkan"- Fahmi

Fahmi ingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kandungan yang belum ditentusahkan berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kandungan yang belum ditentusahkan berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Sehubungan itu, menterinya, Datuk Fahmi Fadzil telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) memberi kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu tiada gangguan dalam proses siasatan.
“Saya ambil maklum kenyataan yang dibuat oleh pihak AGC dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. Kedua- dua telah memberi peringatan kerana banyak sebaran yang kita tidak boleh sahkan dan kita perlu serahkan kepada pihak berkuasa.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa sekiranya ada mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini, perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan, tidak ada sesiapa akan dilindungi.“Kita perlu berwaspada supaya apa-apa maklumat yang kita terima melalui media sosial itu kadangkala tidak boleh disahkan, sama ada ia asli (genuine) atau tidak,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada media selepas menghadiri acara Pentarama Homecoming Sempena Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Bangsar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi turut mengajak orang ramai agar menaruh kepercayaan kepada pihak berkuasa - yang fungsi dan tugas mereka menjalankan siasatan dengan adil dan saksama tanpa melindungi sesiapa.
“Kita serah kepada pihak berkuasa. Jabatan Peguam Negara juga telah memaklumkan beberapa perkara yang pihak PDRM perlu susuli sebelum kertas siasatan lengkap untuk diambil tindakan lanjut.
“Sekiranya ada mana- mana pihak yang bertanggungjawab, kita sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan untuk bawa mereka ke muda pengadilan. Peringatan saya, jangan menyebarkan kandungan yang tidak boleh disahkan,” tegasnya lagi.
Semalam, PDRM menasihatkan orang ramai agar menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih berhubung kematian pelajar, Zara Qairina.
Ini termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes kanak-kanak tersebut.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid berkata, peringatan berkenaan dikeluarkan susulan pihaknya mengesan wujudnya penyebaran maklumat serta gambar yang dikaitkan dengan kes tersebut oleh pihak tertentu di media sosial.
Tambah beliau, semua proses siasatan termasuk berkaitan isu bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Zara Qairina ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, pada jam 11 pagi keesokan harinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami