[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: KPM tidak pernah lindungi sesiapa - Timbalan Menteri

Astro Awani 11/08/2025 | 06:40 MYT
Wong Kah Woh berkata, pihaknya juga bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pihak dalam sebarang isu berkaitan kes buli mahupun salah laku disiplin, termasuk melibatkan kematian pelajar berusia 13 tahun, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.


Ringkasan AI
  • KPM menegaskan tidak akan melindungi sesiapa termasuk golongan kenamaan jika terbukti terlibat dalam kes Zara Qairina dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
  • Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh menyatakan semua kes buli dan disiplin disiasat mengikut prosedur operasi standard sedia ada tanpa kompromi.
  • Kes Zara mendapat perhatian meluas selepas jenazahnya digali semula untuk bedah siasat, dan KPM menyeru agar tidak terpengaruh dengan spekulasi atau persepsi yang tular di media sosial.


Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan ke atas kes berkenaan.

"Berkenaan dengan semua kes yang berlaku sama ada kes disiplin atau buli di sekolah, pihak KPM mempunyai garis panduan, yang berkuatkuasa dari masa ke masa.

"Dalam kes Zara Qairina, kita tahu bahawa perkembangan isu ini dalam siasatan polis dan KPM akan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan.

"Cuma KPM menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana isu yang berkaitan buli.

"Kedua, KPM tidak dan tidak pernah pun cuba untuk melindungi sesiapa seperti dinyatakan. KPM telah dan bersedia bekerjasama dengan pihak polis untuk membantu siasatan kes yang terbabit," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) yang menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli di sekolah, termasuk melibatkan kes Allahyarham Zara Qairina susulan pelbagai spekulasi telah timbul.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu Mohd Shafie meminta penjelasan daripada KPM bagi memastikan keselamatan pelajar terus dilindungi di kawasan sekolah.

"Saya harap 'enforcement of law' jangan lindungi mana-mana pihak terbabit, tak kira siapa dia. Kalau ia (buli) berlaku.

"Mungkin manusia tak nampak perbuatan itu, sama ada pihak berwajib di peringkat sekolah, pihak keselamatan dan lain-lain tetapi Allah SWT nampak perbuatan di muka bumi," ujar Mohd Shafie.

Pada Ahad, proses bedah siasat jasad Zara Qairina Mahathir selesai selepas kira-kira lapan jam prosedur itu dijalankan.

Pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.



#Zara Qairina #Kementerian Pendidikan #Wong Kah Woh #siasatan polis