Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: Remaja dituduh tetap dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak - Azalina

Seth Akmal 19/08/2025 | 07:00 MYT
Azalina turut menegaskan perbuatan buli sama ada di sekolah atau dalam talian tidak pernah boleh diterima. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lima remaja yang berdepan pertuduhan dalam kes buli melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Rabu tetap perlu dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.


Ringkasan AI
  • Lima remaja yang berdepan pertuduhan tetap dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, termasuk hak kepada kerahsiaan, khidmat guaman dan layanan adil, seperti ditegaskan oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said.
  • Suhakam mengingatkan bahawa pendedahan identiti kanak-kanak dalam prosiding mahkamah adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 15 Akta 611, dengan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun.
  • Kerajaan MADANI komited membendung gejala buli melalui pelbagai inisiatif perundangan termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, pindaan Kanun Keseksaan, penubuhan tribunal khas siber buli dan pelantikan Pesuruhjaya e-Selamat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, ia adalah sebahagian hak mereka di sisi undang-undang membabitkan kerahsiaan, khidmat guaman serta layanan yang adil.

“Walaupun lima remaja itu kini berdepan pertuduhan, mereka tetap dianggap kanak-kanak di sisi undang-undang dan mesti dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, termasuk hak kepada kerahsiaan, khidmat guaman serta layanan yang adil,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa semua pihak, khususnya media dan orang awam, untuk melindungi hak lima remaja yang bakal berdepan pertuduhan itu.

Suhakam turut mengingatkan bahawa Seksyen 15 Akta 611 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.

Mengulas lanjut, Azalina berkata Kerajaan MADANI turut komited membendung gejala buli.

Antara langkah diambil termasuk melalui penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, pindaan Kanun Keseksaan, pengukuhan undang-undang perlindungan kanak-kanak seperti SOAC (2017–2023), Rang Undang-Undang (Pindaan) Saksi Kanak-Kanak 2023, serta pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam.

Selain itu, katanya kerajaan melalui Badan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mengkaji penubuhan tribunal khas siber buli dan pelantikan Pesuruhjaya e-Selamat bagi menyediakan penyelesaian segera kepada mangsa, pemulihan untuk pelaku, serta pendidikan keselamatan digital khususnya kepada kanak-kanak.

Pada 18 Ogos, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata lima pelajar akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, berkaitan kes Zara Qairina.

Mohd Dusuki berkata, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan kesemua suspek berusia bawah 18 tahun.




#Azalina Othman Said #Zara Qairina Mahathir #kes buli #identiti remaja #terkini