MALAYSIA

Kes Zara Qairina: Saifuddin minta hormati proses undang-undang

Seth Akmal 05/08/2025 | 06:50 MYT
Saifuddin berkata, walaupun siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), keputusan mendakwa hanya akan dibuat selepas penelitian rapi. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KAJANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang berhubung siasatan kes kematian pelajar sekolah agama, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.


Ringkasan AI
  • Menteri Dalam Negeri menegaskan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dalam kes kematian Zara Qairina, dengan keputusan pendakwaan hanya akan dibuat selepas penelitian rapi oleh Jabatan Peguam Negara.
  • Walaupun siasatan telah diserahkan kepada AGC, sebarang kecacatan dalam kertas siasatan akan dikembalikan kepada polis untuk diperbaiki sebelum tindakan lanjut diambil.
  • Kes ini mendapat perhatian masyarakat susulan dakwaan unsur buli, dan kerajaan menekankan keperluan keyakinan penuh sebelum sebarang pendakwaan dibuat demi keadilan dan ketelusan.


Menurut beliau, walaupun siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), keputusan mendakwa hanya akan dibuat selepas penelitian rapi.

“Kita hormat prosesnya dulu... kalau ada kecacatan pada satu kertas siasatan, pihak AGC akan kembalikan kepada pihak polis untuk diperkemaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis i-Deen Kepulihan anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, hari ini.

Tambah beliau, AGC perlu benar-benar yakin sebelum sebarang pendakwaan dibuat, terutama dalam kes yang mendapat perhatian masyarakat.

“Bukan maksudnya kita berkata sudah selesai itu (bermakna) sempurna, tidak. Sebab Peguam Negara mesti yakin sebelum nak membuat satu keputusan meneruskan pendakwaan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mengesahkan kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada AGC pada Isnin.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah kira-kira jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kes berkenaan mendapat perhatian meluas susulan dakwaan wujud unsur buli yang tular di media sosial.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat unsur buli dalam kejadian itu.

Polis kini menunggu keputusan AGC berhubung tindakan seterusnya.


#Kes Zara Qairina #hasil siasatan #Peguam Negara #Saifuddin Nasution #terkini